
MENCANAK naik betul harga tiket penerbangan! Macam mana boleh berlaku? Tiada kawalan harga ke? Dapat balik ke tak ni dengan harga melampau ni? Ada cara lain tak?
Syarikat penerbangan menggunakan sistem ‘Dynamic Pricing’. Bermakna harga tiket akan berubah-ubah mengikut tawaran dan permintaan (Supply & Demand). Senang kata, lebih banyak tempahan, makin mahal harga tiket kerana kuota tawaran sudah semakin habis di kala permintaan masih tinggi. Jadi, siapa nak juga perlu sanggup bayar lebih.
Realitinya, disebabkan tarikh mengundi iaitu pada 19 November ini, tiket pada 18-20 November 2022, setakat hari ini sudah mencecah RM500 sehala bagi perjalanan di Semenanjung. Belum lagi cerita pengundi Semenanjung daripada Sabah Sarawak. Paling murah pun, telah mencecah ribuan ringgit Malaysia untuk minggu mengundi.
Kapal terbang telah menjadi kemudahan pilihan utama buat mereka sebahagian daripada para pengundi. Peratusan turun mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 ini dijangka akan mendapat paling ramai dalam sejarah kerana faktor Undi18 yang telah menjadikan rakyat Malaysia seawal usia 18 tahun menjadi pengundi yang berdaftar secara automatik dan layak mengundi.
Maka, tidak dinafikan ramai pengundi anak muda dalam kalangan Gen Z dan Gen Y akan turun dan menggunakan peluang dan amanah untuk memilih kerajaan yang baharu dan akhirnya memberi kesan kepada kestabilan negara.
Pelancaran 20 peratus Jom Balik Mengundi oleh syarikat Malaysia Airlines yang memberi harga diskaun dengan penambahan 26 penerbangan. Bukan itu sahaja, 16 perkhidmatan domestik telah dinaik taraf kepada pesawat badan lebar A330. Seliaan harga tiket juga telah dipantau oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang PRU-15. Syabas Malaysia Airlines.
Keputusan untuk meraih keuntungan dunia semata-mata sehingga mencicirkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia adalah langkah yang tidak bermoral. Oleh itu, diharapkan, terdapat banyak lagi syarikat penerbangan yang menyediakan promosi yang lebih bijak dan bersifat menyokong sistem negara berdemokrasi untuk turun mengundi agar dapat membuka peluang rakyat Malaysia untuk merancang perjalanan balik mengundi bagi PRU15 kali ini.
PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 27/10/2022











