
KUALA LUMPUR: Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengambil maklum bahawa negara ketika ini sedang mengalami fasa peralihan monsun dan banjir kilat dilihat sudah kerap berlaku di seluruh negara.
Menurut Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, semalam Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia, Hisham Mohd Anip memaklumkan bahawa kadar hujan yang direkodkan di seluruh negara walaupun tidak menampakkan perubahan yang signifikan secara keseluruhannya.
Namun, ujarnya dilihat dari segi wilayah, negeri-negeri di tengah Semenanjung mencatatkan pertambahan hujan, berbanding negeri-negeri lain.
“Beliau memaklumkan bahawa di negeri tengah Semenanjung, Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan menunjukkan trend peningkatan kadar penurunan hujan berbanding negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Khidmat Malaysia telah menerima maklumat berkaitan beberapa tempat yang telah menerima hujan lebat pada hari ini dan ada laporan telah berlakunya banjir kilat, antaranya berlaku di Gua Musang, Kelantan.
Beliau berkata, berpandukan kepada laporan terkini pada 7.50 malam tadi yang disiarkan oleh MetMalaysia juga menunjukkan bahawa sebahagian besar negeri akan mengalami ribut petir dan hujan lebat.
“Dengan perkembangan yang berlaku ini, Khidmat Malaysia telah mengaktifkan Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) pada malam tadi untuk memantau perkembangan yang berlaku di seluruh negara,” ujar beliau.
Beliau menambah, sebarang maklumat berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 010-5449866.
Sebarang sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana banjir yang terlibat. – HARAKAHDAILY 8/10/2022











