
KUALA PILAH: Seramai 505,465 wanita telah menjalani ujian saringan kanser payudara dan kanser serviks (HPV DNA) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak diperkenalkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, dari Mei 2007 hingga 31 Ogos lalu, seramai 448,888 wanita seluruh negara telah menerima manfaat daripada Program Subsidi Mamogram itu.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 32,604 orang melibatkan wanita di Negeri Sembilan.
“Sebanyak 52 pusat mamogram disediakan bagi memudahkan penyampaian subsidi ini yang memberi manfaat kepada penduduk,” ujarnya semasa merasmikan Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia (JKKM) Siri 3 dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Kampung Orang Asli Langkap, dekat sini hari ini.
Turut berucap ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Dato’ Abd Samad Ibrahim dan Tok Batin Sulak Panglima Besar. Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Perancangan Strategik LPPKN, Nafishah Abdullah dan Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Azlan Shah Nazrudin.
Katanya, semua wanita warganegara Malaysia atau bertaraf Penduduk Tetap berumur 40 hingga 70 tahun layak menerima subsidi ujian mamogram secara percuma dengan pendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan.
Menurutnya, kriteria lain adalah wanita berumur 35 hingga 39 tahun dengan sejarah keluarga mengidap kanser payudara yang telah mendapat pengesahan doktor.
Tambahnya lagi, sejak HPV DNA diperkenalkan pada 2019 hingga 31 Ogos lalu, seramai 56,577 orang wanita telah mendapatkan ujian tersebut dan daripada jumlah tersebut sebanyak 3,606 kes positif direkodkan.
Katanya, untuk di Negeri Sembilan, jumlah wanita yang telah menjalani ujian saringan kanser serviks HPV DNA dari tahun 2019 hingga 31 Ogos 2022 adalah seramai 5,086 orang.
“Saya menyeru kaum wanita di Negeri Sembilan amnya dan di Kampung Langkap ini khasnya untuk segera mendapatkan perkhidmatan subsidi mamogram dan ujian HPV DNA kerana tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa,” tambahnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti BERNAS, Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang telah bekerjasama dalam penganjuran program berkenaan.
Menurutnya lagi, kerjasama itu memberi tanda bahawa semangat Keluarga Malaysia diamalkan oleh semua tidak kira di mana berada.
“Ucapan penghargaan turut saya berikan kepada warga kerja LPPKN Negeri Sembilan atas komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Pada program itu, penduduk setempat turut menerima pemeriksaan kesihatan, subsidi mamogram dan HPV DNA secara percuma daripada LPPKN Negeri Sembilan.

Siti Zailah juga menyampaikan Bakul Kasih yang merupakan barangan kegunaan harian dan sukan kepada penduduk sementara kanak-kanak menerima kasut dan beg sekolah. – HARAKAHDAILY 8/10/2022











