
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Kerajaan perlu mengambil perhatian serius terhadap amaran Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum mengumumkan membubarkan Parlimen di musim tengkujuh sekarang.
MET Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai banjir yang seringkali berlaku pada akhir tahun.
Ketua Penerangan PAS Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, mengambil kira situasi banjir yang mungkin berlaku, tidak wajar diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dalam masa terdekat.
“Tindakan membubarkan parlimen dalam situasi musim tengkujuh adalah tindakan terburu-buru dan tidak wajar tanpa mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya di sini.
Baru-baru ini MET Malaysia memaklumkan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula 3 Oktober dan berterusan sehingga November 2022.
Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah, boleh mengundang kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.
Muhammad Azmir juga berkata, negara baru berada pada fasa pemulihan ekonomi selepas melalui pandemik Covid-19 yang begitu lama.
“PAS Perlis menyokong saranan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar semua pihak mengutamakan kepentingan rakyat dan negara di samping menyokong usaha-usaha pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/10/2022











