
Oleh NOR HAZWANI NOH
ALOR SETAR: Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap sebagai mukadimah kebangkitan ummah yang perlu disambung generasi muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, anak muda perlu memainkan peranan bagi menyelamatkan diri, negara dan umat manusia dengan Islam.
Katanya, anak muda perlu sedar dan insaf untuk kembali kepada cahaya iaitu petunjuk Allah SWT. Kita kemukakan tawaran Islam sebagai penyelesaian dan penyelamat.
“Langkah pertama dimulakan dengan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sebelum itu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) kerana pelbagai kelemahan dan masalah yang berlaku.
“Ini peranan yang perlu dimainkan generasi muda. Maka anak muda perlu bangkit dan berjuang tegakkan Islam, tegakkan ekonomi, bangsa dan umat. Hanya Islam jadi penyelamat,” katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS, di Kompleks PAS Kedah malam tadi.
Hadir sama Timbalan Presiden, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan, Naib-naib Presiden, Senator Datuk Idris Ahmad, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Turut hadir Ketua Penerangan PAS Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Senator Dato’ Ahmad Yahaya dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Senator Nuridah Mohd Salleh.
Tuan Guru Abdul Hadir yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah berkata, Allah SWT melantik semua rasul di usia 40 tahun yang mempunyai pelbagai usia pengikut. – HARAKAHDAILY 4/9/2022




















