Guna logo: Berlapang dada terima apa sahaja keputusan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli-ahli PAS hendaklah berlapang dada terhadap apa sahaja keputusan PAS Pusat yang akan menentukan penggunaan logo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dato’ Seri Mohammad Sanusi Md Nor berkata, pimpinan akan membuat keputusan terbaik bagi menentukan kemenangan berpihak kepada PAS.

“Kita tidak mahu keputusan itu nanti menyebabkan sokongan kita berpecah sehingga menyebabkan sukar untuk mencapai kemenangan,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut hari ini.

Menurutnya juga ahli-ahli dan pendukung PAS tidak perlu gusar terhadap keputusan yang bakal dibuat pimpinan mengenai penggunaan logo tersebut.

- Advertisement -

Muktamar kali ini menyaksikan ramai perwakilan mahu PAS terus kekal menggunakan lago bulan purnama bagi menghadapi PRU15.

Jumaat lepas Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mahu usul mengenainya dibawa pada muktamar kali ini.

Ketua Penerangan DHPP Kelantan Lau Chin Chua berkata, DHPP Pusat diharap membawa usul bagi mengekalkan penggunaan logo bulan purnama pada PRU15.

Manakala hari ini perwakilan PAS Pahang Wan Razali Wan Nor juga mahu PAS mempertahankan penggunaan logo bulan purnama pada PRU15.

Katanya, mengambil kira kedudukan Pahang yang berjiran dengan Kelantan dan Terengganu maka menggunakan logo PAS pada PRU akan datang adalah pilihan terbaik.

“Saya juga mencadangkan parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) terutamanya Besatu menggunakan logo bulan purnama.

“Kita yakin dengan izin Allah bukan hanya membawa simbol perpaduan seperti kejayaan negeri-negeri yang ditadbir PAS sekarang,” katanya pada perbahasan ucapan dasar.

Menurutnya juga Allah memberi anugerah kemenangan kepada PAS sehingga berjaya mentadbir tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kata beliau ia membawa maksud politik yang dibawa PAS bukan lagi retorik sahaja kerana ia sudah dibuktikan di negeri-negeri yang ditadbir PAS.

Wan Razali juga berkata, lapan Adun PAS di Pahang akan terus melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin untuk membantu rakyat sehingga terpaksa cari dana daripada penyokong PAS.

“Tahniah kepada Adun PAS di Pahang kerana kerja keras untuk terus membantu rakyat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -