Negeri diterajui PN, PH tolak bubar Dun tahun ini

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS yakin Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak akan diadakan tahun ini dengan mengambil kira negeri-negeri yang tidak dikuasai Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberi komitmen tidak akan membubar Dewan Undangan Negeri (Dun) lebih awal.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat ini tiga negeri di bawah penguasaan PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan Dun tahun ini.

Selain itu negeri yang diterajui di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak akan membubar Dun tahun ini.

“Selain itu keputusan untuk membubarkan parlimen perlu mendapat persetujuan kabinet di mana sekarang terdapat gabungan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Ini bermakna kekuatan anggota kabinet bukan didominasi Umno dan BN sepenuhnya. Malah dua pertiga daripada anggota kabinet sekarang di luar BN.

“Jadi untuk membolehkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri memohon untuk membubarkan parlimen perlu mendapat persetujuan parti-parti terbabit terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui sempena muktamar di Kota Sarang Semut petang tadi.

Baru-baru ini Tuan Ibrahim pada kenyataan media memberitahu PAS memutus untuk membubarkan Dun bagi tiga negeri yang ditadbir parti itu selepas Mac 2023.

Menurutnya PAS berpendirian kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pemulihan semula ekonomi negara, selain isu kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Tuan Ibrahim yang Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, untuk mengadakan PRU melibatkan kos yang besar yang melibatkan peruntukan kewangan kerajaan.

“Sekiranya Umno memilih mengadakan PRU tahun ini, sudah tentu tahun hadapan terpaksa diadakan sekali lagi PRU kerana enam negeri setakat ini memberi komitmen tidak akan membubarkan Dun,” katanya.

Beliau juga melihat desakan supaya perdana menteri membubarkan segera PRU tidak dapat ditolak ada kaitan dengan kluster mahkamah yang melibat beberapa pemimpin Umno. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -