
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Kerajaan negeri meletakan harapan tinggi kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) untuk melahirkan lebih ramai tokoh ulama dan umarak yang berkhidmat kepada masyarakat.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sejarah penubuhan institusi itu sudah cukup menjadi bukti komitmen kerajaan bagi tujuan tersebut.
Katanya, generasi beriman yang sejati perlu dilahirkan seramai mungkin bagi mewarisi gagasan agama di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
“KIAS merupakan harapan kerajaan negeri dalam usaha melahirkan orang Islam dan pemimpin masa hadapan untuk terus memperkukuhkan dasar MBI.
“Sejarah kewujudannya pun berjaya melahirkan ramai tokoh ulama dan umarak yang berkhidmat kepada masyarakat sehingga ke hari ini,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen KIAS kali ke-22 di Pengkalan Chepa hari ini.
Seramai 688 graduan terlibat dalam istiadat yang dilakukan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang. Jumlah itu merangkumi graduan dari tahun 2020 dan 2021.
Menteri Besar juga berkata, personaliti graduan KIAS sebagai daei ummah dan hendaklah bermu’ahadah yakni mengingati perjanjian dengan Allah dan sentiasalah jaga hubungan dengannya.
“Muroqobah yakni merasai diri sentiasa diawasi oleh-Nya, tidak kira di mana sahaja serta muhasabah untuk membina keyakinan yang lebih kukuh.
“Mu’aqobah (menghukum diri) sebagai peringatan supaya tidak melakukan kesilapan dan dorongan lebih bertakwa, akhir sekali mujahadah,” katanya.
Sementara itu pelajar lepasan Diploma Pengurusan Halal, Aisha Mohd Nazeri 27 berkata, beliau terharu kerana diberi peluang menyambung pengajian peringkat ijazah secara percuma.
Katanya, beliau mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda Syariah dengan Pengurusan Halal.
Kata beliau KIAS menawarkan pengajian tanpa sebarang yuran selama empat tahun menjalani pengajian dalam bidang tersebut.
“Perasaan saya suka dan gembira sebab pertamanya rasa dihargai keduanya ialah kerana hasil usaha saya selama ini rasa dihargai.
“Hasil kejayaan dan komitmen saya selama tiga tahun, saya dipilih untuk menerima Anugerah Kecemerlangan al Fateh,” katanya.
Beliau memperolehi Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 3.93 selama enam semesta pengajian serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. – HARAKAHDAILY 22/8/2022











