
BERDASARKAN kajian yang dibuat oleh para penyelidik, 49 peratus daripada golongan dewasa lelaki di Malaysia ialah perokok. Bahkan, lebih daripada 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun adalah disebabkan penyakit yang berkaitan dengan rokok. Data ini sepatutnya menimbulkan kerisauan dalam kalangan kita.
Berbagai usaha telah digerakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu rokok dan kawalan tembakau. Antaranya, pelaksanaan kempen kesedaran yang berterusan, inisiatif Klinik Berhenti Merokok, pelaksanaan Pelan Strategik bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 serta larangan merokok di tempat awam, termasuk yang terbaru di kedai-kedai makan dan restoran. Namun, suatu langkah yang lebih tegas harus diusahakan bersama bagi memastikan usaha sifar perokok dapat dilaksanakan di negara ini, dengan menamatkan terus generasi perokok atau ‘Generational End Game’.
Atas dasar itu, Pemuda PAS Malaysia berpendapat penggubalan RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi adalah suatu usaha yang amat baik dalam memerangi gejala rokok, dan wajar disokong penuh. Usaha dan sokongan pelbagai pihak terhadap usul ini adalah amat penting demi membantu pihak berkuasa menghentikan gejala merokok dalam generasi muda yang lahir selepas 2005.
Sekalipun ada yang berpendapat pelaksanaan RUU ini bakal memberikan impak negatif kepada ekonomi negara akibat kehilangan cukai pendapatan dari hasil jualan tembakau, sebenarnya kesan positif dari pelaksanaannya adalah jauh lebih besar daripada kesan negatif. Fakta menunjukkan, industri rokok hanya menyumbang sekitar 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Bahkan, kerugian yang ditanggung oleh negara bagi pengurusan kesihatan akibat gejala merokok sebenarnya mencatatkan penambahan saban tahun. Pelaksanaan RUU ini juga adalah selari dengan prinsip Maqasid Syariah, yang meletakkan aspek penjagaan nyawa lebih utama daripada penjagaan harta.
Dalam melaksanakan RUU ini andainya diluluskan, Pemuda PAS berpendapat kerajaan perlu memberikan penjelasan berkenaan apakah mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan dan pematuhan dapat dijalankan dengan sempurna. Ini termasuklah bagaimana kaedah kerajaan dalam membanteras kemasukan rokok seludup, yang dijangka akan meningkat lebih banyak pasca pelaksanaan RUU ini. Kerajaan juga mesti memperincikan peranan serta pelan kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasa dalam memastikan pengawalan tembakau dapat dipatuhi sebaiknya.
Secara umumnya, Pemuda PAS berpendapat pembentangan RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 adalah amat tepat pada masanya bagi memastikan generasi kita bebas daripada asap rokok. Pelaksanaan dan mekanisme yang menyeluruh harus diperincikan oleh YB Menteri Kesihatan dalam pembentangan RUU di Parlimen, bagi memastikan RUU tersebut dapat dilaksakanakan dengan efektif. Tiada alasan untuk Ahli-ahli Parlimen tidak menyokong pelaksanaan RUU ini sekiranya RUU tersebut benar-benar berfungsi dalam memastikan Malaysia mencapai sifar perokok pada masa akan datang.
YB AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/7/2022











