
KUALA TERENGGANU: Penolong Pengarang Harakah, Khairul Azlam Mohamad, 51, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 4.30 pagi tadi di rumahnya di Taman Perumahan Permint Perdana Seberang Takir, Kuala Nerus dipercayai sesak nafas.
Solat jenazah Allahyarham Khairul Azlam akan dilaksanakan pada pukul 11.00 pagi di Masjid Jamek Tok Jiring dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maahad Tahfiz wal Tarbiyyah.
Allahyarham meninggalkan isteri serta sembilan orang anak yang berusia 10 hingga 25 tahun.
Beliau yang juga Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) menyertai program ibadah korban bersama Yayasan Amal Terengganu ke Mindanao, Filipina sempena Aidiladha.
Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ts Ir Khairi Nizam Khiruddin merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Allahyarham seorang petugas media yang gigih dan cekal melaksanakan tugas tanpa mengira masa dan tempat.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lepas arwah ditugaskan membuat liputan di negeri berkenaan.
Sepanjang kerjaya sebagai seorang wartawan, Allahyarham banyak menyertai misi kemanusiaan bersama Yayasan Amal ke luar negara termasuk Myanmar dan Afghanistan. – HARAKAHDAILY 18/7/2022











