
KETIKA filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan‘ melakar sejarah tersendiri dengan sambutan dan kutipan yang julung-julung kali berlaku, polemik mengenai filem tersebut masih panas memenuhi media sosial. Ada yang bercakap mengenai filem tersebut, aspek teknikal dalam filem tersebut, skrip yang sarat dengan seruan, tenaga kerja di belakangnya, latar belakang penerbitnya, ketokohan Mat Kilau dan sahabat seperjuangan malah banyak lagi.
Namun penulis terpanggil menyentuh perbincangan di media sosial yang antara lain berbunyi seakan-akan meletakkan sesetengah golongan pembesar dan pemerintah tertentu sebagai petualang. Yang dituduh bersekongkol dengan British dan memerangi Mat Kilau.
Timbul persoalan dalam kita berdiskusi sesuatu kejadian yang menjangkau ratusan tahun lama, dalam ketidak-tentuan perang yang penuh cabaran dan tipu daya, kenapakah kita yang sering mahu dilihat sebagai susuk penegak keadilan papan atas, tidak mengambil pendirian yang sederhana?
Hakikatnya rekod sejarah juga ada bercakap mengenai Mat Kilau dan kumpulannya, ‘the Pahang rebels’, sememangnya dilindungi oleh ketua-ketua mereka secara rahsia. Perkara ini diketahui malah diperakui oleh British dengan terbuka dan ianya boleh disemak dengan menelaah satu laporan akhbar lama yang berpusat di Singapura terbitan tahun 1895 yang antara lain menceritakan mengenai penangkapan dan ‘kematian’ Mat Kilau.
Menurut laporan The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser yang bertarikh 21, Oktober 1895, pada muka surat dua yang bertajuk ‘The Pahang Rebels Caught At Last’ berbunyi, “These rebels have been notoriously harboured in Kelantan and Tringganu, whose chiefs have secretly protected them while avowing to the Straits Government and to Mr. Clifford their desire to promote their capture.”
Ayat tersebut dengan jelas membuktikan bahawa kumpulan ‘pemberontak’ Pahang ini sememangnya dilindungi di Kelantan dan Terengganu oleh ketua-ketua mereka sendiri secara rahsia dan penuh tipu muslihat. Ia juga menampakkan nada kekecewaan Inggeris terhadap perbuatan ketua-ketua tersebut yang tidak dinamakan dengan jelas, kerana, kononnya mereka telah berjanji kepada kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Mr. Clifford sendiri untuk membantu menangkap kumpulan ‘pemberontak’ tadi.
Menarik kerana kenyataan ini dibuat secara terbuka dan ianya mungkin satu cubaan untuk memberi amaran kepada sesiapa saja yang melindungi Mat Kilau dan rakan-rakan seperjuangannya. Namun apa yang pasti British tidak dapat berbuat apa-apa terhadap ketua-ketua tersebut kerana ianya dilakukan orang Melayu dengan bermuka-muka dan penuh tipu daya.
Seperti juga mana-mana pihak yang dijajah dan melawan penjajah yang jauh lebih kuat, besar dan tersusun seperti Inggeris, Mat Kilau melancarkan perang gerila dengan menggunakan hutan Kelantan dan Terengganu sebagai kawasan persembunyian dengan bantuan ‘ketua-ketua’ mereka.
Tentu saja mengguna-pakai konteks dan sentimen zaman senggang yang kita semua lalui kini, agak keterlaluan dan boleh saja membawa kepada sesuatu kesimpulan yang malang.
Apatah lagi apabila terdapat rekod daripada sumber pihak yang berseteru sendiri memperakui ‘tipu daya’ dan ‘ingkar’ yang berlaku ketika itu.
Malah jika tidak cukup dengan argumen itu, terdapat juga buku sejarah yang merekodkan perihal sokongan secara ‘rahsia’ yang diberikan oleh Sultan Ahmad yang merupakan salah satu tonggak kekuatan kepada penentangan orang-orang Pahang terhadap British, selain faktor Datuk Bahaman itu sendiri.
Dan ketika Sultan Ahmad diberi tekanan oleh Residen British untuk beralih arah dan menyokong mereka, pemberontakan yang pernah mencapai kemuncak kekuatan baru apabila digelar tokoh agamawan Terengganu sebagai sebuah Perang Sabil menentang puak kafir, sebenarnya sudah semakin melemah. Perkara ini boleh dikutip melalui buku ‘A History of Malaysia’ oleh Barbara Watson Andaya, Leonard Y. Andaya (2001).
Malah jika kita membaca artikel penuh ‘The Pahang Rebels’ yang dipetik awal-awal tadi, kita akan dapati modus operandi yang sama dibuat Siam. Kerajaan Kelantan ditekan oleh pihak Siam supaya membantu berbuat tangkapan.
Seperti yang dilaporkan oleh The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, tekanan yang diberikan oleh pihak Siam ada direkodkan pada para akhir, “This series of captures, to effect which the Siamese put pressure on the Kelantan authorities…”.
Melalui laporan ini tidak keterlaluan jika Kerajaan Kelantan ketika itu kita simpulkan sebagai tidak mahu bekerjasama kerana direkodkan bahawa sekumpulan ‘Pahang rebels’ yang dimaksudkan telah ‘notoriously harbored’ di Kelantan dan Terengganu oleh ketua-ketua mereka walaupun telah ‘avowing’ untuk membantu membuat tangkapan, lalu Siam harus masuk campur.
Dan mungkin, sikap suka berhujah dengan ilmu yang salah atau tidak benar seperti inilah yang diklasifikasikan sebagai amalan ‘pandirisme’ oleh pemikir dan pengkritik sastera Melayu, Mohd Affandi Hassan yang berhujah akan fenomena tersebut di kalangan kita dalam ‘Siri Wacana Persuratan Baru: Pandirisme Dalam Komuniti Dunia’.
Menurut beliau pandirisme digambarkan sebagai suatu keadaan atau kelakuan yang ‘…menolak wacana berasaskan ilmu yang benar sebagai asas analisa yang mendalam’. Persis Pak Pandir yang ‘salah pilih atau sengaja memilih sesuatu yang tidak berguna ialah pengalaman intelektual yang universal’ dan hal ini berlaku kerana ‘mereka tidak menghormati pembaca mereka’.
Walaupun label ini digunakan Mohd Affandi Hassan untuk melabel sekumpulan pengamal sastera Melayu tempatan, namun penulis merasakan diskusi filem Mat Kilau yang muncul lewat media sosial ketika ini, walaupun tidak semua, terpalit pandirisme.
Terkini ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ yang sudah menjangkau RM53 juta kutipan tiket, dilabel sebagai sebuah filem yang rasis dan fasis. Ianya disamakan dengan The Ku Klux Klan (KKK) kumpulan pengganas dan kebencian kulit putih yang malam-malam mereka dipenuhi aktiviti ‘lynching’ warga Amerika Syarikat berkulit hitam.
Ianya tidak terhenti di situ malah ada yang tergamak mengangkat pengganas Komunis Chin Peng yang abunya dibawa masuk ke Malaysia secara haram pada tahun 2019, sebagai pejuang kemerdekaan sebaris Almarhum Mat Kilau!
Mungkin inilah natijah yang terpaksa kita semua hadapi apabila normalisasi kepada kebodohan, seperti video viral TikTok meraikan kegagalan peperiksaan SPM dan perbuatan perkara-perkara bodoh seperti aksi ‘prank’ menarik tudung wanita Muslim dan lain-lain lagi semakin berleluasa di media-media sosial malah menjadi ikutan?
Mungkinkah pandirisme jugalah wabak yang telah melanda sekumpulan agamawan yang dikatakan dengan mudah gemar untuk mentakfirikan kumpulan-kumpulan tertentu kerana pra-sangka dan tanpa usul periksa?
Mohd Affandi Hassan juga banyak memetik Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas bagi memperjelaskan lagi konsep pandirisme yang dibawa beliau. Mungkin petikan ini sesuai menjadi renungan, ‘…tiap-tiap manusia itu pun harus ditempatkan masing-masing pada kelayakannya mengikut bawaan asasinya. Kakak tua tiada layak ditempatkan pada singgahsana merak, dan murai pun harus tiada dipandang sama dengan merbuk.
Apabila terdapat keadaan di mana manusia diberikan oleh manusia lain bukan pada keadaannya yang layak baginya masing-masing, maka ini menunjukkan kezaliman yang mengaburi masyarakat; dan kezaliman ini pun ternyata terbayang dalam pertuturan, sebab keadaan tiada adil itu timbulnya dari fikiran yang kusut yang tiada dapat membezakan nilaian berlian dan kaca. Jesteru fikiran yang kusut ini pun akan mengeluarkan percakapan serta pertuturan persuratan yang kusut juga.’
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) merangkap penulis buku esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’’ – HARAKAHDAILY 9/7/2022
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.











