
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kuala Krai–Machang dan Machang-Kota Bharu dijangka sesak teruk apabila hampir 2 juta rakyat Kelantan yang berada di perantauan pulang berhari raya di kampung.
Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, perantau pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung selepas dua tahun tidak menyambutnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh itu katanya Polis Kelantan akan memberi tumpuan di 16 lokasi yang biasa banyak berlaku kemalangan jalan raya sepanjang kempen Op Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Op Selamat akan diadakan empat hari sebelum dan empat hari selepas Hari Raya,” katanya selepas merasmikan pelancaran Ops Selamat 18/22 di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa di sini, hari ini.
Op itu melibatkan pelbagai agensi termasuk JPJ, Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Muhamad Zaki berkata, polis dibantu agensi berkenaan akan berada di lokasi bagi mengawal lalu lintas secara bergilir-gilir sepanjang 24 jam dalam tempoh Op Selamat berlangsung.
Menurutnya juga sebelum ini terdapat peningkatan kes kemalangan iaitu sebanyak 836 kes pada tahun 2018 berbanding 940 (2019).
Kata beliau juga kempen tersebut lebih tertumpu kepada nasihat supaya pengguna jalan raya mematuhi peraturan termasuk tidak memotong kenderaan lain dalam keadaan bahaya dan tidak memecut laju melebihi had dibenarkan. – HARAKAHDAILY 27/4/2022











