Kerajaan negeri sentiasa utama kepentingan rakyat

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan menyokong penuh tindakan tegas kerajaan negeri terhadap pihak yang merosakkan kawasan tadahan di lokasi hutan simpan.

Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada pemilik lesen yang melanggar syarat-syarat kontrak pembalakan termasuk menarik balik lesen.

Katanya, Pemuda PAS optimis keprihatinan kerajaan negeri terhadap laporan pembalakan yang melibatkan kawasan tadahan di Kelantan bagi memelihara ekosistem hutan.

- Advertisement -

Oleh itu kata beliau Pemuda PAS Negeri merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang menarik semula lesen pembalakan di kawasan Hutan Simpan Sungai Durian, Kuala Krai.

Sebelum itu ahli parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu kerajaan negeri menarik balik lesen pembalakan di
di kompartmen 99 dan 100 Hutan Simpan Sungai Durian kerana boleh menjejaskan sumber air tandak.

Mohamad Kamal juga berkata, tindakan pantas pimpinan PAS Kuala Krai mendesak kelulusan lesen pembalakan tersebut ditarik balik amat dihargai bagi mengelakkan tandak air kegunaan 7,000 penduduk terjejas.

Menurutnya juga pihak tertentu tidak perlu meraih laba politik terhadap isu tersebut kerana kerajaan Kelantan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Tindakan responsif segera Menteri Besar dan kecaknaan semua pihak dapat menghilang kegusaran penduduk di kawasan berkenaan,” tambahnya.

Pagi tadi sekumpulan aktivis pembangkang mengadakan perhimpunan dan menyerah memorandum kepada Menteri Besar berhubung kelulusan lesen pembalakan di Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 27/4/2022

- Advertisement -