
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mahu masjid dan surau benar-benar hidup dalam masyarakat.
Menurut beliau, pihaknya meneruskan program dapur Ramadan kali ini.
Katanya, program makanan berbuka puasa secara percuma ini memberi fokus kepada golongan asnaf dan kumpulan B40.
“Dengan perbelanjaan RM1.2 juta, kita gerakkan 70 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai check point.
“Inilah saya mahukan masjid dan surau benar-benar hidup dalam masyarakat,” ujarnya pada laman sosial beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menggerakkan program itu.
Program Dapur It’am Ramadan menyediakan 4,120 pek makanan percuma setiap hari sepanjang Ramadan melibatkan perbelanjaan RM1,236,000. – HARAKAHDAILY 13/4/2022











