
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Masjid Muhammadi Kota Bharu akan mengagihkan sehingga 1,000 bungkus juadah berbuka puasa, moreh dan sahur setiap hari.
Imam Tua Masjid Muhammadi Khairul Azizi Mokhtar berkata, aktiviti tersebut tidak diadakan di masjid kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Katanya Masjid Muhammadi menyediakan makanan berbuka puasa secara bungkus untuk dibawa pulang ke rumah.
“Ini kerana majlis berbuka puasa di masjid tidak dibenarkan lagi. Semua orang boleh ambil makanan yang disediakan.

“Kita peruntukan pada peringkat awal sebanyak 500 bungkus dan kita tengok kalau berlaku penambahan jemaah kita tambah sampai 1,000 bungkus sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika selepas majlis pelancaran kempen Kempen ‘Ngaji Kitab dan Al-Quran Bersijil No. 1 Malaysia’ di sini, kelmarin.
Program tersebut dirasmikan Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.
Khairul Azizi juga berkata, biar pun banyak kelonggaran diberikan ketika negara memasuki fasa endemik, namun jemaah masih terikat dengan peraturan Covid-19.
Menurutnya juga aktiviti iktikaf, kuliah agama, tadarus al Quran diadakan seperti biasa dengan pematuhan SOP termasuk memakai pelitup muka.
“Ahli jemaah yang datang untuk iktikaf kita pastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Agama Islam Kelantan,” katanya.
Sementara itu Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh dan Masjid Sultan Muhamad II turut menyediakan juadah berbuka percuma setiap hari secara bungkus.
Masjid Sultan Mansor memperuntukkan RM2,000 sehari bagi menjayakan program tersebut. – HARAKAHDAILY 2/4/2022




















