KPDNHEP perlu tangani isu kenaikan harga barang musim perayaan Aidilfitri

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pulang ke kampung dan kesesakan trafik bukan isu yang paling dekat dengan rakyat semasa sambutan Hari Raya Aidil Fitri akan datang.

Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, isu sebenar yang paling dekat dengan rakyat adalah kenaikan harga barang secara mendadak dan bekalan bahan mentah yang tidak mencukupi di pasaran semasa musim perayaan.

Justeru beliau meminta penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung tindakan untuk menangani isu tersebut daripada berulang kembali pada musim perayaan tahun ini.

“Apakah tindakan dan strategi yang akan diambil kementerian untuk memastikan perkara yang berlaku saban tahun tidak berulang pada raya kali ini? Apatah lagi kali ini raya kita boleh balik ke kampung beramai-ramai, insya-Allah.

“Apakah kementerian boleh membuktikan kewibawaan mereka, dalam suasana raya pada kali ini kalau ditakdirkan berlaku juga, berulang kembali perkara ini, apakah kebertanggungjawaban yang akan diambil oleh kementerian terhadap rakyat Malaysia secara khususnya?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan Bekalan 1961, di Dewan Negara, semalam.

Khairil Nizam turut meminta penjelasan jika KPDNHEP bercadang untuk menambah jenis barangan kawalan kepada senarai sedia ada dalam usaha mengawal peningkatan harga barang.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengambil pesara tentera sebagai pegawai penguatkuasa KPDNHEP sebagai langkah untuk menimbulkan rasa gerun kepada orang yang mengambil kesempataan, terhadap pegawai.

Katanya, mereka lebih gagah, berani, dan tidak takut kepada orang-orang tengah atau mereka yang gemar mengambil kesempatan.

Malah katanya, pesara tentera sememangnya mempunyai sikap taat kepada negara disebabkan sikap disiplin dan taat yang diajarkan semasa menjadi tentera sebelum ini. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -