Kerajaan tempatkan pegawai khas selesai lambakan kes pembahagian pusaka

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan menempatkan Unit Pasukan Petugas Khas untuk menjalankan perbicaraan kes pusaka kecil menyelesaikan isu lambakan kes pusaka di negara ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Anak Biju, berkata Unit Pasukan Petugas Khas itu akan bertanggungjawab dalam menangani urursan pentadbiran tanah di bawah waran Jabatan Ketua Pengarah Tanag dan Galian (JKPTG).

- Advertisement -

“Pihak Kementerian membuat rasionalisasi penempatan pegawai dari Unit Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab dalam menangani urusan pentadbiran tanah di bawah waran JKPTG.

“(Tindakan ini) digerakkan bagi membantu menjalankan perbicaraan kes pusaka kecil selain mengadakan perancangan kerjasama dan libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mendapatkan bantuan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang membangkitkan isu lambakan kes pusaka yang sudah lama tertangguh, di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Ali, Kementerian Tenaga dan Sumber ASli (KeTSA) juga melancarkan ‘Program Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka’ di peringkat negeri.

Katanya, program itu bertujuan menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat secara langsung di lapangan dengan kerjasama kerajaan negeri melibatkan ketua-ketua komuniti setempat.

“Program pertama telah dilancarkan di peringkat Negeri Kedah pada 14 Februari lalu mengambil kira jumlah bebanan tunggakan yang tinggi di negeri tersebut dengan fokus permulaan diberikan kepada Daerah Sik,” katanya.

Tambah Ali, KeTSA juga telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi lantikan pegawai secara kontrak dengan menggunakan bajet sedia ada kemenetrian sebagai langkah jangka masa pendek.

Katanya, pengambilan tersebut akan dibuat dalam masa terdekat jika diluluskan dan lantikan itu akan melibatkan pegawai yang menjalankan perbicaraan serta kakitangan sokongan bagi
pemprosesan kes-kes sedia ada. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -