4,200 pelajar miskin terima sumbangan Yayasan Petronas

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Seramai 4,200 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Kelantan menerima sumbangan dari Yayasan Petronas.

Sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah, pakaian sukan serta kit kebersihan diri itu disampaikan sempena program Petronas Back To School 2022.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Azeman Said kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Azeman berkata, sejak program itu dilancarkan pada 2003, Petronas terus komited bagi meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah khasnya dalam kalangan pelajar.

“Situasi pandemik dan peningkatan harga barang, menambahkan cabaran yang dihadapi ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah bagi menghadapi sesi persekolahan 2022,” katanya di sini.

Menurutnya juga berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia, pandemik menyebabkan seramai 580,000 isirumah M40 disenarai dalam kategori B40.

Oleh itu katanya, jumlah penerima sumbangan Back To School tahun ini ditambah.

“Buat julungkalinya pelajar sekolah menengah rendah turut dibantu Petronas. Sebanyak 2,600 disampai kepada murid sekolah rendah di Machang, Gua Musang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.

“Manakala 1,600 lagi sumbangan diagih kepada pelajar sekolah menengah rendah di Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Putih dan Bachok,” ujarnya.

Setiap pelajar menerima sepasang pakaian seragam sekolah, sepasang pakaian sukan, kasut, stoking dan sebuah beg galas. – HARAKAHDAILY 14/3/2022

- Advertisement -