Pengundi muda mampu buat kejutan di Parit Yaani

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

BATU PAHAT:
Berdasar perkembangan semasa gerak kerja kempen di Dun Parit Yaani tidak dapat ditolak boleh berlaku kejutan Sabtu ini.

Kehadiran pengundi baharu dalam kalangan generasi muda dan golongan yang tidak keluar mengundi sebelum ini dianggap mampu melonjak pengaruh Perikatan Nasional (PN).

Dun berkenaan pernah dimenangi PAS pada 2013 melalui Aminolhuda Hassan bagaimanapun pemimpin melarikan kerusi tersebut dan menyertai Amanah pada 2015.

- Advertisement -

Calon PN Dun Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, golongan yang sebelum ini tidak pernah keluar mengundi memberi jaminan akan keluar mengundi Sabtu ini.

Katanya, mereka memberi komitmen mahu menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Begitu juga ketika saya berkempen di kawasan perumahan masyarakat Cina di Taman Maju, sambutan mereka begitu baik sekali.

“Masyarakat Cina di kawasan berkenaan sangat peka terhadap kesihatan diri. Mereka minta taman awam ditambahbaik seperti laluan jogging dan tapak aktiviti yoga serta tai chi.

“Alhamdulillah sambutan mereka sangat menggalakkan. Saya juga mendapat kerjasama daripada Gerakan ketika menyantuni masyarakat bukan Melayu,” katanya di sini.

Dun Parit Yaani mempunyai komposisi pengundi Melayu 54.95 peratus. Pada PRN tersebut Ahmad Nawfal berdepan dengan Dato’ Mohd Najib Samuri (Umno), Aminolhuda (Amanah) dan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir (Pejuang).

Ahmad Nawfal juga berkata, Persatuan Badan Tokong Parit Yaani memohon diwujudkan kawasan kolumbarium (tempat letak abu mayat).

Menurut beliau, cadangan itu boleh diusahakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan yang lain. – HARAKAHDAILY 11/3/2022

- Advertisement -