Tiga IPT jalin kerjasama bantu mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

RANTAU PANJANG:
Lebih 500 penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang yang terjejas banjir baru-baru ini menerima sumbangan daripada tiga Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Mohd Zin Mubarak berkata, IPT terbabit menjalinkan kerjasama melaksanakan misi bantuan banjir.

Selain Pusat Islam UMK, usaha itu turut dibantu Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM).

- Advertisement -

“Dengan sinergi ini kita berjaya mengumpul dana lebih RM20,000 untuk diagihkan kepada penduduk dalam bentuk makanan dan kelengkapan rumah.

“Kita bermula pagi tadi yang melibatkan lima kampung, alhamdulillah sumbangan staff dan masyarakat kita sampaikan kepada penduduk,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan dalam Misi Bantuan Banjir Pantai Timur 2022 di Kampung Terang di sini, semalam.

Kata beliau sumbangan itu merupakan hasil derma dan bantuan diberikan kakitangan, pelajar dan masyarakat sekitar dalam tempoh seminggu bagi meringankan beban mangsa banjir.

Ketika banjir melanda Rantau Panjang baru-baru ini terdapat beberapa kampung yang terjejas termasuk Kubang Rambutan, Kok Puah, Tersang, Kampung Sireh dan Lubok Gong.

Pada majlis sama turut diserahkan bantuan kepada lima petugas media yang terlibat banjir iaitu tiga dari Rantau Panjang, masing-masing satu dari Pasir Panjang dan Kok Lanas. – HARAKAHDAILY 11/3/2022

- Advertisement -