Balik, keluar mengundi, usah biar minoriti tentukan pimpinan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MERSING:
Rakyat Johor digesa untuk pulang ke negeri ini dan menunaikan tanggungjawab mengundi supaya pemimpin mereka tidak ditentukan oleh minoriti.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka tidak menunjukkan mandat sebenar rakyat kerana peratusan keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya 65.85 peratus.

- Advertisement -

Justeru, beliau menganggap keputusan PRN Melaka adalah hasil daripada minoriti rakyat Melaka.

“Kita tidak mahu perkara sama (berulang), kerajaan dibentuk mungkin nampak majoriti, walaupun kita pakai sistem first-past-the-post (FPTP) tetapi ia hanya mewakili sebahagian kecil daripada rakyat yang balik mengundi.

“Jadi, (jika) kita mahukan kerajaan yang betul-betul stabil, sekurang-kurangnya peratusan keluar mengundi perlu 90 peratus supaya kita dapat melihat mandat rakyat yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai menghadiri segmen khas bersama calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Roslan Nikmat di sini, petang semalam.

Menurut Razman, tindakan dan pengorbanan rakyat Johor untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini adalah akan menjadi perkara paling mahal yang bakal mereka tentukan.

“Kita seru kepada rakyat semua, balik mengundi in what ever cost, mereka perlu balik mengundi, kerana tanggungjawab pengorbanan mereka hari ini akan menjadi satu hal yang paling mahal dalam tempoh lima tahun akan datang

“Apa susah sekalipun, baliklah mengundi dan jangan lupa mengundi Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2022

- Advertisement -