Prof Dr Razli dilantik Naib Canselor baharu UMK

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK:
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak, 59, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Prof Dato’ Dr Noor Azizi Ismail.

Prof Razli memulakan tugas sebagai Naib Canselor UMK berkuatkuasa semalam (1 Mac). Hari ini beliau tiba di Bangunan Canselori, UMK Bachok pada jam 8.30 pagi.

- Advertisement -

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Statistik Ekonomi dari UKM, Ijazah Sarjana Sains bidang Penyelidikan Operasi dari University of Strathclyde, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di USM.

Sebelum ini beliau merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK bermula 15 Mac 2021 hingga 28 Februari 2022.

Pernah menyandang jawatan Dekan Pusat Pengajian Siswazah UMK antara Januari 2018 hingga Mac 2021, Ketua Pegawai Keusahawanan/Pengarah Institut Keusahawanan UMK (Mac 2016 hingga Disember 2017) dan Pendaftar UMK (Februari 2012 hingga Januari 2015).

Sehubungan itu UMK mengucap tahniah kepada Prof Dr Razli di atas pelantikan tersebut.

UMK juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof Dr Noor Azizi di atas segala sumbangan dan khidmat bakti menerajui universiti itu sebelum ini.

“UMK turut merakam terima kasih dan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan Fungsi Naib Canselor sebelum ini,” kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -