Calon SPM perlu ikut SOP elak penularan Covid-19

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Seramai 33 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maahad Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI) menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

Mudirnya, Burhanuddin L Abdullah berkata, keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tinggal di asrama bertujuan untuk mengelakkan daripada penularan virus Covid-19.

“Alhamdulillah, 100 peratus pelajar kita dapat menduduki SPM dengan baik tanpa ada pelajar yang dijangkiti wabak tersebut.

- Advertisement -

“Semoga pelajar dapat menjawab dengan baik dan mendapat keputusan terbaik setelah pelbagai usaha dijalankan sebelum ini,” katanya.

MADI merupakan sekolah agama yang berada di bawah naungan PAS Perlis.

Burhanuddin juga berkata, pelajar, ahli keluarga dan guru dinasihat sentiasa menjaga kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak memberi kesan kepada calon sepanjang peperiksaan dijalankan.

Di seluruh Perlis seramai 3,598 calon menduduki SPM di 36 pusat peperiksaan di seluruh negeri berkenaan termasuk enam calon berpusat di hospital.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 3,116 calon melibatkan pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan; Maktab Rendah Sains Mara (244), sekolah swasta (77), calon persendirian (127) dan sekolah menengah agama rakyat (34). – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -