
Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Mengambil kira Pelabuhan Tok Bali akan menjadi sebuah pelabuhan berdaya maju pada masa depan, Tok Bali memerlukan bekalan air lebih 10 juta liter sehari.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengambil kira perkembangan itu KASA membuat kajian bagi membina loji rawatan air (LRA) berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Gong Kulim.
Katanya LRA tersebut bagi menampung bekalan air yang mencukupi di Pasir Puteh, Tok Bali dan sebahagian Bachok.
“Kajian itu membabitkan beberapa elemen termasuk kesesuaian tanah dan Pintu Kawalan Air Pasang Surut dapat mengawal kemasukan air masin ke kawasan daratan.
“Selain itu sejauh mana kemampuan bagi menampung keperluan air terutama pada musim kemarau bagi keperluan tanaman padi dan kegunaan harian penduduk,” katanya selepas meninjau pintu kawalan air tersebut hari ini.
Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan Pengarah Kawasan Pembangunan Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak Rohani Jusoh.
Tuan Ibrahim berkata, sekiranya kajian itu didapati sesuai, loji berkenaan dijangka mampu membekalkan air sebanyak 30 juta liter sehari bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di dua jajahan.
Menurutnya juga penduduk di Tok Bali sekarang mendapat bekalan air dari Terengganu sebanyak 0.5 juta liter sehari bagi menampung keperluan harian.
Kata beliau bekalan air di Besut diambil memandangkan LRA di Wakaf Bunut tidak mampu membekalkan air secukupnya.
Ditanya mengenai dakwaan banjir yang berlaku di Pasir Puteh berpunca daripada kerosakan tujuh daripada 10 pintu di Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Gong Kulim katanya, ia adalah tidak tepat.
“Banjir berpunca hujan lebat luar biasa berlaku secara berterusan selama tiga hari menyebabkan tiga pintu tidak dapat menampung jumlah air hujan yang berlebihan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/3/2022




















