Kerajaan negeri laksana gerak kerja pasca banjir

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR MAS:
Kerjasama antara kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) begitu penting bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir lebih terjamin.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, bencana melanda khususnya di Rantau Panjang kali ini agak luar biasa.

Katanya, bantuan NGO bukan sahaja berbentuk kebajikan dan perubatan, malah nasihat guaman juga perlu digerak kerana ia melibatkan kemusnahan dokumen milik mangsa banjir.

- Advertisement -

“Ada NGO yang datang bawa makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, ada NGO perubatan seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

“NGO guaman juga perlu digerak sebab dokumen yang hilang termasuk yang dah rosak perlu dibantu untuk membolehkan mereka membuat permohonan semula dokumen terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan program dapur rakyat di Pusat Khidmat Dun Meranti di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga, dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki dan Pengerusi Misi Kembara Dakwah (MKD), Khalik Mat Zari.

Mumtaz yang juga Adun Demit berkata, kerajaan negeri turut melakukan persiapan bagi melaksanakan gerak kerja pasca banjir.

Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan melalui Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (Mesra) untuk membantu membersih lokasi terlibat banjir.

“Kehadiran NGO dapat membantu kerajaan bagi mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir. Program pasca banjir dikenali ‘gonyoh gaha’ merupakan gandingan kerjasama NGO dengan pelbagai pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -