
TELUK INTAN: PASTI telah membuktikan kelebihannya melahirkan murid-murid yang terdidik dengan acuan Islam dalam membentuk minda berfikir aras tinggi berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Mohd Azhar Mohd Rafaie amat berharap kelangsungan seumpama menjadi pilihan ibu bapa bagi anak-anak mereka untuk melangkah ke pendidikan sekolah rendah.
Beliau berpesan agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka meneruskan pendidikan Islam kerana menjadi pewaris generasi yang akan menyambung perjuangan Islam pada masa hadapan.
Ingatan tersebut dititipnya dalam ucapan ketika menyempurnakan perasmian dan penyampaian hadiah pada Hari Anugerah Prestasi PASTI Teluk Intan di Dewan Wak Johar, Kompleks PAS Teluk Intan, kelmarin.
Seramai 105 murid enam tahun telah diraikan sebagai kenangan akhir di institusi pra-sekolah tersebut walaupun tanpa kehadiran ibu bapa seperti kebiasaan atas faktor peningkatan kes COVID-19.
Bagaimanapun, bagi memenuhi kemeriahan sambutan majlis, pihak pengurusan telah mengadakan siaran langsung menerusi saluran media sosial rasmi PASTI Teluk Intan bagi ibu bapa mengikuti secara maya.
Hadir sama pada majlis ini adalah Ketua Pemuda PAS Teluk Intan, Mohd Firdaus Ziyaudin dan Pengerusi PASTI Teluk Intan, Muhammad Aiman Termizi. – HARAKAHDAILY 27/2/2022













