Nelayan tangguh tangkap ikan laut bergelora

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR  PUTEH:
Kira-kira 3,000 nelayan Kelantan terutama di jajahan Pasir  Puteh dan Bachok disaran menangguhkan aktiviti perikanan memandangkan keadaan cuaca sangat merbahaya sekarang.

Pengarah Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia  Kelantan, Kepten (M) Syed Nor Adli  Syed  Ab  Rahman,  berkata, keadaan laut bergelora,  angin kencang, hujan lebat dan air pasang besar diramal berlaku dalam tempoh  terdekat.

- Advertisement -

“Fenomena ini menyebabkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan  amaran kategori ketiga kerana angin kencang boleh mencapai sehingga 60 kilometer (km) dan ombak setinggi  4.5 meter,” katanya  ketika ditemui di sini, hari ini.
 
Beliau  berkata, situasi ini sangat merbahaya kepada bot-bot rekreasi,  bot nelayan dan perkapalan terutama bagi bot nelayan dikhuatiri tidak stabil serta terbalik, manakala hujan lebat juga boleh mengganggu penglihatan radar.

“Penduduk di persisiran pantai juga dinasihat tidak melakukan sebarang akitiviti di pantai sehingga situasi cuaca benar-benar selamat. Anggota Maritim akan membuat rondaan pesisir pantai secara berkala bermula sekarang sehingga cuaca kembali stabil,” katanya.

Sementara  itu Pengerusi Persatuan  Nelayan Bachok, Saripudin Ishak  berkata, pihaknya tidak membenarkan  lebih 300 bot nelayan Bachok keluar menangkap ikan dalam tempoh seminggu ini.

Katanya keadaan cuaca berlaku sangat luar biasa dan tidak pernah terjadi sebelum ini, fenomena itu lebih buruk  berbanding cuaca pada bulan Disember lepas.

“Pada sebelah malam kami sentiasa  memantau bot-bot yang di jeti di Kuala Kemasin secara bergilir-gilir kerana dibimbangi perkara buruk  berlaku kerana  dua hari lepas air  pasang besar pada sebelah malam sehingga melimpah ke pangkalan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/2/2022

- Advertisement -