Tidak dibenar aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri melarang sebarang aktiviti pembalakan melibatkan kawasan tadahan air yang dijadikan sebagai ‘tandak’ untuk kegunaan harian penduduk tempatan khususnya di Hulu Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu merupakan sebahagian dasar kerajaan negeri yang perlu dipatuhi oleh sebahagian besar penerima kontrak aktiviti pembalakan di Kelantan.

Malah beliau berkata, kerajaan negeri juga pernah membatalkan kelulusan pembalakan kerana melanggar dasar tersebut sehingga menjejaskan bekalan air bersih kepada penduduk tempatan.

- Advertisement -

“Secara umumnya Jabatan Perhutanan memang mengenal pasti hutan-hutan yang menjadi tadahan air, dan sebahagian besar sudah dimasukkan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) yang memang tidak boleh diusahakan.

“Kita buat semakan dahulu, bila disebut bahagian mana jadi pihak kita akan minta maklum balas dari pihak jabatan betul ke tidak,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan penduduk di Chuchoh Puteri A dan Chuchoh Puteri B di Kuala Krai dekat sini untuk mewartakan sebahagian kawasan tadahan air daripada aktiviti pembalakan.

Ini berikutan lebih 6,000 penduduk di kampung terbabit bimbang jika kawasan dijadikan tandak air itu menerima impak besar akibat aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) blok Sungai Rek.

Penduduk meminta supaya kerajaan negeri mewartakan lima kompartmen pembalakan sekitar kawasan tadahan air tersebut yang pernah disuarakan sejak 2009.

Semalam Harakahdaily memaparkan punca air dari HSK sungai Rek masih jernih memandang tiada aktiviti pembalakan baru di kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 9/2/2022

- Advertisement -