MAIK belanja RM20 juta setahun zakat pendidikan asnaf

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membelanjakan hampir RM20 juta setiap tahun daripada jumlah terimaan zakat bagi agihan zakat pendidikan kepada lapan kategori asnaf di seluruh Kelantan.

Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perbelanjaan itu melibatkan bantuan kewangan kepada penerima bermula darjah satu sehingga ke peringkat pengajian tinggi di pelbagai bidang pengajian dalam dan luar negara.

“Untuk tahun 2021 jumlah perbelanjaan yang diagihkan MAIK di bawah golongan asnaf fakir, miskin dan fisabilillah melalui program pendidikan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM21 juta iaitu sebanyak 13 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan zakat iaitu RM170 juta.

- Advertisement -

“Antara program yang terlibat bantuan persekolahan, bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT, pelajar pondok dan tahfiz, Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK, sumbangan melanjutkan pelajaran ke IPT Fisabilillah, program dan aktiviti pendidikan asnaf dan beberapa biasiswa dan program lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAIK dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) di Hotel Grand Renai, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman, dan Rektor KIAS Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Katanya, MAIK juga meluluskan program baharu iaitu biasiswa zamalah pendidikan iaitu penajaan berbentuk biasiswa yang diberikan kepada pelajar yang menerima tawaran menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi awam atau swasta.

“Program penajaan berbentuk biasiswa itu diberikan kepada pelajar yang menerima tawaran dan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam atau swasta sama ada di semesta pertama dan seterusnya.

“Biasiswa diberi bertujuan untuk membantu pelajar melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat pengajian tinggi di dalam negara sahaja,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata, MoU dengan KIAS bagi menaja biasiswa pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian tinggi di bawah program biasiswa zamalah pendidikan dan dermasiswa di bawah program Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP).

“KIAS menjadi universiti pertama program biasiswa  pendidikan di bawah DSIP kepada pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian di KIAS.

“Selain itu juga, penajaan biasiswa buat kali pertama tahun ini dipersetujui seramai 80 orang iaitu melibatkan seramai 30 pelajar di peringkat diploma dan 20 pelajar diploma pengajian Turath serta 30 pelajar di peringkat Ijazah,” katanya.

Bagaimanapun, penajaan biasiswa kepada pelajar tajaan MAIK adalah berdasarkan permohonan dan pemilihan berdasarkan syarat MAIK. – HARAKAHDAILY 9/2/2022

- Advertisement -