
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Susulan peningkatan kes Covid-19 terkini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Baginda menyarankan agar orang ramai tidak mengunjungi tempat tumpuan awam jika tiada kepentingan terutamanya kepada golongan yang berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak.
“Rakyat juga perlu mengambil sikap dan tanggungjawab sosial dengan memastikan aplikasi MySejahtera digunakan setiap kali memasuki premis perniagaan atau tempat tarikan pelancong.
“Begitu juga kepada pemilik premis hendaklah berperanan memastikan hanya pelanggan yang berisiko rendah dan lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke premis mereka,” titah baginda.
Titah baginda lagi, masyarakat perlu sentiasa sentiasa mematuhi SOP di samping mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian masing-masing.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) kepada 30 orang asnaf terpilih di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh, hari ini. Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata pandemik Covid-19 sekali lagi menunjukkan peningkatan kes yang mendadak, bukan sahaja di Malaysia namun di luar negara.
“Perlis juga turut terkesan, di mana terdapat 275 kes dilaporkan pada minggu lepas, iaitu peningkatan 164 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Namun, 97.5 peratus adalah kategori 1 dan 2 iaitu ringan dan hanya 12 peratus dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) dan hospital.
“Tiada kematian dicatatkan ketika ini kerana sebahagian besarnya disumbang oleh liputan vaksinasi lengkap bagi rakyat Perlis yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau lagi, peningkatan itu adalah disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak.
“Selain itu, punca peningkatan kes kerana jangkitan dari komuniti dan menular di institusi dan premis berkenaan.
“Orang ramai juga dilihat semakin memandang ringan terhadap SOP dan kurang mengamalkannya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/2/2022











