
POLITIK asalnya dengan maksud السياسة memberi maksud pentadbiran, pengurusan, kepimpinan dan sebagainya.
Contohnya sabda Nabi S.A.W:
كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء
“Bani Israel itu dipimpin oleh para Nabi…”
(Sahih Muslim)
Itulah juga tujuan sebenar politik. Iaitu mentadbir negara dan memimpin masyarakat untuk melahirkan sebuah negara yang makmur.
Antaranya firman Allah S.W.T:
هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
“Dia-lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”
(Hud: 61)
Namun, sejak cara fikir politik Barat muncul, banyak teori-teori politik muncul. Akhirnya mengheret kepada maksud politik yang salah.
Contohnya Realisme, Pragmatisme, Machiavelinisme dan lain-lain. Akhirnya maksud politik itu dikenali sebagai drama, persaingan, percaturan, permainan kotor, jatuh menjatuh, dan sebagainya.
Sebab itulah hari ini kita saksikan generasi yang menyampah dengan politik. Yang mereka bencikan bukanlah pengurusan, pentadbiran atau kepimpinan. Akan tetapi yang mereka bencikan adalah maksud politik yang tersimpang, sehingga ia dianggap kotor.
Bukanlah mudah untuk membetulkan cara fikir yang salah terhadap politik. Ia mengambil masa yang panjang.
Kefahaman politik Islam perlu dihuraikan, diajar dan dipersembahkan bagi membendung salah faham ini. Manakala cara fikir politik Barat perlu dibendung.
Apa yang kita bimbangkan, apabila hilang erti politik yang memberi maksud pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan, akan lahirlah negara yang tidak terurus, negara yang tidak terpimpin dan sebagainya. Maka, akan hilanglah erti ‘kemakmuran’.
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/2/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100051781123067/posts/448148206921213/











