
Oleh BASITH SAMAD
KINABATANGAN: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 hanya ada dua bulan lagi untuk menduduki peperiksaan yang dijadual diadakan pada Mac ini.
Sehubungan itu mereka perlu berusaha mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan tersebut dengan memantapkan pengetahuan melalui pelaksanaan latih tubi dan kaedah ulangkaji yang berkesan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah Hendri Hamsah berkata, pelajar boleh menggunakan bahan-bahan grafik, peta minda dan pelbagai lagi bagi membantu mengingatkan kembali apa yang dipelajari sebelum ini.
Manakala bagi pelajar beragama Islam, mereka disaran mengamalkan doa-doa ma’thur dan solat hajat secara konsisten bagi meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT.
“Kami berharap mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang masih berbaki sekarang.
“Pelajar juga boleh menggunakan kesempatan yang ada sebagai medan untuk berbincang sesama pelajar dan bertanya kepada guru mengenai subjek yang kurang difahami,” katanya di sini.
Pelajar di seluruh negara memulakan sesi persekolahan penggal akhir 2021 bermula Ahad dan Isnin lepas selepas bercuti pada Disember.
Pembelajaran secara fizikal tersebut turut membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Hendri turut mengingatkan calon SPM, STAM dan STPM supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dalam aspek fizikal dan mental. – HARAKAHDAILY 11/1/2022











