
Oleh IBNU JANIE | Foto ANUAR IBRAHIM
MELAKA: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM), Kintan Man menzahirkan rasa terharu dengan penglibatan ramai muslimat muda dalam Misi Bantuan Banjir PAS Melaka Ke Temerloh di bawah kelolaan Khidmat Malaysia negeri.
Beliau yang mesra disapa Bonda Kintan menambah, situasi itu selaras dengan hasratnya dan DMPNM untuk melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dan mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan muslimat muda.
“Bonda berharap terutama kepada anak-anak muda ini mereka istiqamah dalam perjuangan. Dan insya-Allah, bonda sebagai pemimpin, bonda sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, memang bonda punya visi untuk melahirkan pelapis pimpinan.
“Dan kita berharap adik-adik ini yang telah mendapat tarbiah daripada kampus sendiri, mereka telah bai’ah. Dan kita di Dewan Muslimat akan memimpin mereka untuk jadi pemimpin masa depan,” ujarnya bersemangat.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily di majlis pelepasan rasmi kontinjen PAS Melaka bagi misi bantuan banjir itu oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Zulkifli Ismail di Dewan Al-Mualim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 Bakri Jamaluddin, Pengerusi Khidmat Malaysia Melaka, Muhamat Puhat Bedol, Ketua Dewan Pemuda negeri, Muhammad Al-Afiz Yahya, Pengerusi Lajnah Kebajikan negeri, Mohsin Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip.
Kintan yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin berkata, DMPNM turut menyediakan barang-barang sumbangan untuk dibawa ke Temerloh
“Barang yang kami sediakan ialah 150 set kit ibadah yang merupakan telekung, sajadah dan kain pelekat untuk orang lelaki. Dan kita juga ada memperuntukkan sedikit bantuan wang tunai untuk mangsa banjir,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Ameerah Melaka, Rohaya Ramli yang turut menyertai misi itu menyeru muslimat muda yang berminat agar menyertai Ameerah untuk bersama-sama melibatkan diri dalam kerja-kerja amal seperti misi bantuan banjir itu.
“Kami akan kemas kini segala aktiviti kami di sana (Temerloh) dalam page rasmi kami iaitu page Ameerah Negeri Melaka.
“Dan kepada wanita muda di luar sana yang berminat menjadi sukarelawan dan ahli Ameerah Melaka boleh hubungi inbox page kami untuk mendapat maklumat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/1/2021











