
Oleh IBNU JANIE | Foto ABU ANAS
MELAKA: Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail mengingatkan sukarelawan yang membantu mangsa banjir agar sentiasa menjaga keikhlasan sepanjang bertugas.
Menurut beliau, dengan niat yang ikhlas itu maka mereka akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT sepanjang masa bertugas.
“Apatah lagi dalam berhadapan dengan situasi bencana ini terdedah kepada berbagai-bagai kemungkinan.
“Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran yang bermaksud: ‘Sekiranya kamu menolong agama Allah, maka Allah akan memberikan pertolongan kepada kamu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan amanat kepada kontijen PAS Melaka dalam program pelepasan Misi Bantuan Banjir ke Temerloh, Pahang, yang berlangsung di Dewan Al-Mualim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, semalam.
Tuan Guru Zulkifli yang baru dipilih sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu menambah, selain keikhlasan, mereka juga diharap dapat menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.
“Dalam mereka menjalankan tugas, sebagaimana menjadi budaya dalam PAS, mereka melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.
“Kerana dengan kerja yang bersungguh-sungguh itu ia akan mendatangkan ganjaran yang besar daripada Allah SWT kepada mereka yang terlibat,” ujarnya lagi.
Misi itu di bawah kelolaan Khidmat Malaysia (KM) Melaka yang dipengerusikan oleh Muhamat Puhat Bedol bersama dengan Jabatan Amal Malaysia (JAM), Ameerah Melaka dan beberapa lagi NGO di bawah PAS.
Sementara itu, Muhamat Puhat ketika ditemui pada program yang sama berkata seramai 90 orang sukarelawan yang terdiri daripada aktivis-aktivis PAS, anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka, Ameerah Melaka dan NGO-NGO di bawah PAS terlibat di dalam misi itu.
“Termasuk juga dalam sukarelawan-sukarelawan ini ada mahasiswa, ada guru-guru PASTI, ada daripada Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan juga sukarelawan Khidmat Malaysia sendiri.
“Kami juga menggabungkan beberapa buah NGO yang dapat hadir bersama dalam misi ini yang di bawah PAS,” ujarnya.
Menurut Puhat, antara barang-barang yang dibawa ialah selimut, toto, bantal dan air minuman.
“Kita difahamkan di sana masih lagi kekurangan air bersih atas sebab kebimbangan pencemaran banjir. Kami juga bawa set asas ibadah seperti kit ibadah yang mana dalam tu ada sajadah, Al Quran, kain pelikat dan telekung. Kita akan bagi kepada mangsa-mangsa yang ada di sana.
“Kami juga membawa sedikit peralatan untuk PASTI. Kami difahamkan PASTI juga antara yang agak teruk terjejas di sana. Selain itu kita juga membawa sekali set generator elektrik kerana kami difahamkan ada tempat-tempat yang masih terputus bekalan elektrik,” ujarnya.
Konvoi melibatkan sebuah bas, sebuah van, empat buah kenderaan pacuan empat roda dan lapan buah kereta.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 1, Bakri Jamaluddin, Ketua Dewan Muslimat negeri, Kintan Man, Ketua Dewan Pemuda negeri, Muhammad Al-Afiz Yahya, Pengerusi Lajnah Kebajikan negeri, Mohsin Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip. – HARAKAHDAILY 2/1/2021











