
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
KUALA KRAI: Lebih RM100,000 disumbang pelbagai pihak di Kuala Krai bagi menjayakan misi bantuan banjir di Selangor dan Pahang.
Adun Guchil, Hilmi Abdullah berkata, hasil dana tersebut membolehkan misi bantuan banjir dihantar ke Selangor dan Pahang.
Katanya, lebih 200 sukarelawan yang terdiri daripada anak-anak muda, badan bukan kerajaan termasuk Baracudda 4×4 menyertai misi tersebut.
“Program kemanusiaan ini dikenali ‘Misi Balas Budi’ sebagai simbolik penduduk Kuala Krai yang pernah mengalami banjir besar 2014 di mana mereka turut dibantu penduduk Selangor dan Pahang,” katanya di sini semalam.
Pelepasan rombongan itu diadakan di Taman Chinta Wangsa dilakukan ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman. Turut hadir Penaung Baraccuda Advancutre 4×4 Mohd Fadhil Azmi,
Sebanyak 62 kenderaan yang terdiri daripada pacuan empat roda dan lori terbabit dengan misi kemanusiaan tersebut.
Hilmi juga berkata, sebanyak empat pusat pengumpulan barangan dibuka di Kuala Krai bagi membolehkan orang ramai menderma sejak empat hari lalu.
Katanya, pengumpulan barangan itu turut dijayakan Baracudda yang memasang khemah di tepi jalan ke Gua Musang.
“Dua lagi pusat pengumpulan diwujudkan di Bandar Kuala Krai dan Guchil,” katanya.
Antara barangan yang disumbang orang ramai termasuk makanan, tikar, toto, selimut, ubatan, pakaian bayi, lampin pakai buang bayi dan dewasa, tuala wanita, pakaian dan beras.
Barangan berkenaan dibawa menggunakan 10 lori untuk diagih kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor dan Pahang.
Hilmi juga berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Hulu Langat dan NGO Raja Rimba yang menyelaraskan pergerakan rombongan dari Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 24/12/2021











