
Oleh RIZAL TAHIR
TANAH MERAH: Sebagai menghargai peranan anak-anak muda dalam membangun negeri dan negara Adun Bukit Panau menjayakan program isi minyak percuma di stesen minyak Petronas.
Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, peranan penghantar bermotosikal (runners delivery) memudahkan orang ramai mendapatkan makanan tanpa perlu keluar rumah.
Katanya mereka yang terdiri daripada anak-anak muda sanggup bekerja tanpa mengira musim pandemik Covid-19 atau tidak.
“Walaupun hujan dan panas terik ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Jasa dan pengorbanan runners delivery patut dihargai,” katanya selepas menyantuni anak-anak muda terbabit pada program isi minyak percuma di stesen minyak Petronas bersebelahan McDonald Tanah Merah semalam.
Pada program itu setiap penghantar bermotosikal diberi baucer sebanyak RM20 dan sehelai baju T. Program berkenaan dianjurkan Dewan Pemuda PAS Dun Bukit Panau.
Abdul Fattah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu golongan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya Petronas kerana memberi kerjasama menjayakan program berkenaan.
Beliau juga berharap anak-anak muda menerokai sesuatu yang baru dan tidak meletakkan titik noktah dalam bidang yang diceburi.
“Anak muda perlu melangkah jauh ke hadapan serta sentiasa berinovasi untuk memajukan diri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2021











