Penjawat awam disaran hasil sesuatu di luar kotak

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Penjawat awam disaran menghasilkan sesuatu di luar kotak agar ia lebih unik, dinamik dan mempunyai nilai tambah bagi memantapkan lagi kualiti perkhidmatan awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Nazran Muhammad berkata, penjawat awam tidak boleh jemu untuk terus berinovasi dan mencari idea-idea baru dalam menyampaikan perkhidmatan lebih baik.

Katanya ia secara tidak langsung dapat meningkatkan standard tadbir urus kerajaan negeri.

- Advertisement -

“Penjawat awam merupakan aset penting dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan pembangunan negara.

“Ekspektasi rakyat yang kian meningkat terhadap prestasi sektor awam menuntut penjawat awam memberi perkhidmatan yang cemerlang.

“Adalah penting penjawat awam diperkasa dengan ilmu pengetahuan, sikap dan nilai yang positif,” katanya pada perasmian sambutan Hari Inovasi Sektor Awam 2021 di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Sebanyak 27 kumpulan melibatkan 156 pegawai menyertai pertandingan Anugerah Inovasi kali ke-12.

Manakala penyertaan untuk Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pula melibatkan 18 kumpulan iaitu 147 orang dengan kategori penambahbaikan dan penciptaan.

Nazran juga berkata, penjawat awam yang berilmu akan cemerlang dan seimbang dari segi intelektual, spiritual, emosi dan fizikal akan menjadi pemacu kejayaan sektor awam.

Menurutnya juga program-program dan usaha berteras inovasi hendaklah terus diamalkan supaya ia menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, ia juga perlu dihayati dan diterap supaya pembudayaan inovatif dan kreatif akan terus dikekal tanpa mengetepikan keseimbangan semua aspek. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

- Advertisement -