
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Program Pertandingan Ngail Udang Galoh menjadi salah satu agenda bagi meningkatkan hubungan masyarakat di daerah tersebut tanpa mengira fahaman politik.
Adun Buloh Gading, Ridzuan Hashim berkata, program mengail yang dianjurkan di peringkat komuniti oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berjaya menggerakkan aktiviti peringkat kampung.
“Sebelum ini, kita pernah anjurkan program lumba perahu dengan memanfaatkan sumber-sumber yang ada di kampung tersebut,” katanya pada Pertandingan Ngail Udang Galoh Tertutup Tanjung di sini kelmarin.
Pertandingan itu diadakan di Sungai Lubuk Aji, anjuran Biro Sukan dan Rekreasi JPKK Tanjung Sabtu.
Pertandingan tersebut menawarkan hadiah pertama berkumpulan, RM400 dan hamper, kedua, RM300 serta hamper dan tempat ketiga, RM200.
Manakala Juara Raja Udang kategori individu tempat pertama RM300. Sempena program berkenaan turut diadakan pameran wau tradisional oleh pembuatnya, Wan Ali Wan Muda.
Ridzuan juga berkata, sambutan masyarakat setempat amat menggalakkan biarpun julung kali diadakan.
Menurutnya juga di Kampung Tanjung Sabtu terdapat sebuah Istana lama peninggalan kerabat raja yang sedang dibaikpulih sebagai tempat tarikan pelancongan.
Sementara itu pengarah program berkenaan, Muhammad Muslim Ali berkata, program Ngail Udang Galoh merupakan aktiviti pertama selepas Terengganu masuk ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). – HARAKAHDAILY 1/11/2021











