
KUALA TERENGGANU: Bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah kembali ke rahmatullah pada jam 11.28 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Semasa hayat, allahyarham pernah memegang jawatan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, AJK Dewan Pemuda PAS Pusat, Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat, Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Tepoh.
Beliau dianugerahkan Tokoh Istiqamah pada Muktamar Tahunan PAS ke-64, yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, allahyarham gigih menyumbang bakti bersama Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Ulamak PAS Terengganu dan berpengalaman panjang menyumbang jasa kepada rakyat sebagai ADUN Tepoh dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
“Jasa beliau membangunkan pusat pendidikan bersejarah, Institut Berakan dan juga Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring bersama Allahyarham Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik. Insya-Allah menjadi pahala jariah beliau yang panjang disamping pengajaran dan penulisan ilmu, dakwah dan perjuangan politik Islam yang beliau dukung sehingga ke akhir hayat,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau. – HARAKAHDAILY 10/9/2021











