
KUALA LUMPUR: Pendekatan baru ‘Keluarga Malaysia’ merujuk kepada pemimpin dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang dikemukakan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Yaakob sangat tepat pada masanya di saat krisis politik, pandemik kesihatan serta gelora ekonomi sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Keluarga Malaysia menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi segala situasi.
Menurutnya, Keluarga Malaysia juga menuntut muafakat dan sepakat serta perpaduan semua pihak untuk saling berganding bahu ibarat dicubit peha kanan peha kiri terasa juga.
Tambahnya, dengan pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia, nyatalah betapa pentingnya seluruh rakyat Malaysia terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
Beliau berkata, ikatan nilai kekeluargaan amat penting dalam suasana getir ketika ini untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara.
“Jangan kita biarkan anasir-anasir jahat yang sengaja mahu merosakkan nilai ini dalam negara kita.
“Sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus, saya menegaskan kebersamaan dengan kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan muafakat rakyat ini,” ujarnya swbagai respons kepada ucapan sulung Ismail Sabri sabagai Perdana Menteri ke-9, petang ini.
Beliau juga menyeru semua pihak juga bersatu kembali melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Justeru, saranan kerjasama rentas parti yang turut ditawarkan oleh beliau kepada parti pembangkang melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 sangat wajar disahut oleh pembangkang.
“ Semoga Malaysia terus dilimpahi rahmat oleh Allah SWT. Ayuh kita bersama menjadikan negara yang kita cintai ini lebih baik dan diredhai oleh Allah SWT,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/8/2021











