
MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Walaupun Kelantan masih bergelombang dengan pandemik Covid-19 sehingga mencatatkan lebih 1,000 kes sehari, namun situasi itu tidak mematahkan semangat empat belia untuk mencari pekerjaan.
Mereka yang berumur antara 20 hingga 25 tahun ialah Mohamad Noor Firhan Zaikan, Nik Noor Hanis Nik Ya, Nor Aisyah Muhammad Zol dan Norpaliza Mat Husain, semuanya berasal dari Tumpat.
Malah mereka melahirkan perasaan gembira kerana mengambil keputusan untuk mengikuti program penempatan pekerjaan industri anjuran bersama Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) dan Insan Inisiatif Sdn Bhd.
Mereka menyertai program yang dilaksanakan di Pulau Pinang, namun pada mulanya teragak-agak serta bimbang ekoran penularan wabak yang melanda negara ketika ini.
Namun setelah meneliti tawaran termasuk elaun bulanan sehingga RM1,000 sebulan, asrama, utiliti dan pengangkutan percuma yang disediakan pihak penganjur selama enam bulan.
Malah mereka membuat keputusan itu kerana pensijilan profesional yang ditawarkan turut mendapat pengiktirafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta jaminan pekerjaan selepas program.
“Alhamdullilah seronok ikuti program ini, masa pun jimat sebab dekat hotel dan rumah yang diberikan pun amat selesa yang mempunyai kelengkapan yang cukup,” kata Mohamad Noor Firhan Zaikan.
Program yang bermula pada awal Ogos lalu itu kata Nik Noor Hanis Nik Ya memberi peluang kepadanya untuk membaiki diri bagi memastikan syarat yang ditetapkan majikan dapat dipenuhi.
“Sejak mengikuti program ini pada awal Ogos saya banyak belajar dalam program ini tentang pengurusan masa, belajar untuk berdikari dan bekerja secara berkumpulan.
“Kerja di industri pun tidak berat, suasana tempat kerja pun baik dan tempat tinggal disediakan kepada kami adalah selesa, saya harap dapat habiskan program dalam tempoh enam bulan lagi,” ujarnya.
Nik Noor Hanis ditempatkan bersama dua lagi rakannya, Nor Aisyah Muhammad Zol dan Norpaliza Mat Husain kini menyertai industri pembuatan di Pulau Pinang.
Julai lalu, U-Bes dan Insan Inisiatif Sdn Bhd mengadakan taklimat program penempatan pekerjaan industri yang diadakan secara dalam talian mendapat perhatian kira-kira 80 peserta.
Walaupun ramai yang menyatakan hasrat untuk mengikutinya, namun oleh kerana kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih berlaku, cita-cita itu terpaksa dilupakan.
Sementara itu pihak U-Bes dan Insan Inisiatif membuka pendaftatan baru program itu, mereka yang berminat boleh hubungi telefon 011 5556 8550 untuk maklumat lanjut. – HARAKAHDAILY 22/8/2021











