Terap semangat Hari Kebangsaan jihad perangi wabak

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini hendaklah dijadikan sebagai semangat jihad rakyat dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, rakyat sekarang bukan lagi hanya perlu menentang penjajah atau golongan yang mengkhianati negara.

Sebaliknya kata beliau rakyat sedang berjuang dan bertarung menentang pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Covid-19 bukan hanya meningkat di Malaysia, sebaliknya seluruh dunia turut mencatatkan peningkatan sekarang.

“Jadi kita jangan lagi berfikir hanya untuk hari ini sahaja, tetapi kena fikir juga cara baru sesuai ketika dunia dilanda wabak Covid-19,” katanya selepas menyerah sumbangan kepada anak-anak yatim di perkarangan Pejabat Dun Pengkalan Pasir di Kompleks Ibadurrahman hari ini.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Tumpat Wan Mohd Zuki Wan Ismail dan Pegawai Khas Menteri Besar Ustaz Mohd Hushaimi Hussian.

Pada program itu Menteri Besar menerima Jalur Gemilang daripada Wan Mohd Zuki sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Ditanya kenapa Kelantan kini mencatat kes begitu tinggi kebelakangan ini, Menteri Besar berkata ia berpunca kegagalan anggota masyarakat menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kluster Aidilfitri, Kluster Aidiladha, varian baru dan macam-macam lagi ada yang akhirnya merebak dari seorang kepada lebih ramai,” ujarnya.

Oleh itu katanya setiap anggota masyarakat boleh memainkan peranan bagi menghentikannya penularan wabak tersebut.

Kata beliau sewajarnya orang ramai perlu bertindak sendiri untuk menghentikan penularan wabak berkenaan tanpa menunggu arahan daripada kerajaan.

“Kelantan akan menginjak ke fasa ketiga Plan Pemulihan Negara (PPN) sekiranya rakyat bersama kerajaan memerangi Covid-19 secara bersungguh,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -