
Oleh AIN MANAF
TUMPAT: Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran selepas merampas syabu dan pil kuda bernilai RM10.9 juta di kawasan semak di Kuala Jambu Selasa lepas.
Hasil serbuan yang dilakukan pasukan polis ke sebuah lokasi di Kuala Jambu berjaya merampas 80 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 804,000 pil yaba.
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, tangkapan itu merupakan hasil kerjasama dalam operasi yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.
Katanya, menerusi tangkapan berkenaan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 32 tahun, yang kemudian menunjukkan arah untuk membawa anggota polis ke sebuah kawasan semak.
“Pasukan operasi JSJN Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan menahan seorang suspek dan mendapati bersamanya ada 0.1 gram dadah jenis heroin dan 2 liter air ketum.
“Kemudian pengadu bersama sepasukan anggota IPD Tumpat bergerak ke lokasi dan berjaya merampas satu bungkusan plastik warna hitam yang disyaki mengandungi dadah yang diletakkan di kawasan semak di tepi jalan di Kuala Jambu.
“Manakala sebanyak tiga bungkusan plastik bewarna hitam yang disyaki mengandungi dadah diletak di kawasan semak di lokasi lain di kampung berkenaan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di IPD Tumpat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, dengan anggaran rampasan dadah itu dipercayai dapat dibekalkan kepada kira-kira 400,000 penagih dadah jenis syabu.
Manakala katanya, 804,000 orang bagi pengguna dadah jenis pil kuda.
Bagaimanapun, siasatan lanjut dan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal saki-baki sindikit yang terlibat sama. – HARAKAHDAILY 12/8/2021











