Hayati titah Agong, Sultan Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyatakan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin politik yang dilihat tidak mengutamakan kebajikan rakyat dan menggalas tanggungjawab mereka dengan baik.

- Advertisement -

Menurut Pemangku Ketuanya, Ustaz Nushi Mahfoz, apa yang lebih mengecewakan pihaknya, segelintir pemimpin politik secara jelas bertindak sedemikian di saat negara berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

Malah, tindakan itu dilihat seumpama tidak cuba untuk membantu usaha kerajaan mencari solusi kepada krisis itu melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata demikian ketika menyatakan sokongan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Maal Hijrah, dalam satu kenyataan, hari ini.

“DUPNS menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyeru rakyat Malaysia bekerjasama membendung penularan Covid-19.

“Baginda turut menitahkan umat Islam menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan contoh tauladan utama, terutamanya dari aspek kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Justeru itu katanya, DUPNS berharap agar rakyat Malaysia dapat menilai antara kaca dan permata dalam memilih pemimpin mereka pada masa akan datang, memandangkan keputusan dan kuasa memilih pemimpin berada sepenuhnya di tangan rakyat.

Selain itu, DUPNS turut memohon rakyat Malaysia memerhatikan tinda tanduk ahli-ahli politik ketika ini dengan penuh hikmah, berilmu dan tidak cepat melatah atau cepat menghukum dengan menggunakan emosi semata-mata.

Sementara itu, mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, kata Ustaz Nushi, pihaknya amat menyokong seruan baginda yang menyeru umat Islam mencontohi sikap Nabi Muhammad SAW.

“Baginda bertitah supaya umat Islam membuang segala sifat-sifat negatif yang ada termasuk sifat hasad dengki, fitnah memfitnah yang kerap berlaku di media sosial hari ini.

“DUPNS amat menyokong dan memohon rakyat Malaysia menghayati teguran dan seruan yang dititahkan Sultan Selangor melihat kepada budaya membuli di media sosial dan sering meninggalkan kata-kata kesat untuk menyakiti hati mana-mana pihak,” jelasnya.

Kata Ustaz Nushi, tidak menjadi satu kesalahan menggunakan media sosial, namun bagaimana kita manfaatkannya dalam kehidupan seharian harus dinilai.

Ujarnya, media sosial sepatutnya menjadi platform untuk bersama-sama umat manusia eratkan silaturahim, namun kini ia seolah menjadi platform untuk saling menyakiti sesama sendiri, terutamanya sekiranya melibatkan politik.

“Malah, pelbagai maklumat maklumat palsu juga berlegar dengan cepat di media sosial. Pengguna juga dilihat gemar meninggalkan komen atau pandangan dengan beremosi.

“DUPNS amat kesal dengan perkara ini dan berharap rakyat Malaysia, pengguna media sosial terutamanya berhijrah daripada sikap sering melemparkan kata kata kesat kepasa kata-kata yang lebih berhikmah.

” Marilah kita bersama menjadi insan yang lebih baik, dan semoga beroleh keredhaan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -