Covid-19: Pasar Besar Alor Setar ditutup empat hari

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Operasi Pasar Besar Alor Setar dihentikan selama empat hari bermula semalam berikutan beberapa peniaga dan pekerja disahkan positif Covid-19.

Media melaporkan, arahan penutupan itu dikeluarkan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Dato’ Bandar Alor Setar, Dato’ Zaid Ahmad berkata, penutupan itu juga untuk membolehkan proses sanitasi di pasar itu dilakukan.

Dalam masa yang sama kata, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menguruskan agar ujian Covid-19 dapat dilakukan dalam kalangan peniaga dan pekerja di pasar terbabit.

“Peniaga dan pekerja pasar yang menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 mesti melakukan ujian saringan,” katanya.

Menurutnya, kelmarin ujian saringan yang dibuat oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Kedah tidak mendapat sambutan.

Sementara itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip mengharapkan para peniaga dan pekerja memberi kerjasama untuk melakukan ujian saringan.

“Sekarang hanya kira-kira 300 peniaga dan pekerja sahaja yang masih beroperasi di situ. Apabila diarahkan tutup, barang-barang akan rosak menyebabkan peniaga mengalami kerugian.

“Walau bagaimanapun arahan itu perlu diakur demi kebaikan semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -