
PASIR MAS: Setiap ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada masalah wabak dan isu ekonomi yang sedang melanda negara berbanding mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun berkata, usul hilang kepercayaan terhadap perdana menteri akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada September ini.
Menurutnya, buat masa ini semua pihak diminta untuk menghentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
Malah katanya, rakyat khususnya benar-benar berharap agar kerajaan terus memberi tumpuan sepenuhnya dalam mengurus dan mencari jalan terbaik ketika tempoh pendemik Covid-19.
“Dalam tempoh negara sedang berdepan dengan suasana pendemik sebarusnya kita semua memberi tumpuan menyelesaikan sebarang masalah yang sedang dihadapi rakyat.
“Kecelaruan politik di Malaysia ketika ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengganggu usaha kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani pandemik Covid-19.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghentikan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan pergaduhan dan pertelingkahan sesama yang mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek pelaksanaan projek menangani runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Dato’ Hanifa Ahmad, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha.
Beliau juga memaklumkan Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara yang menikmati kestabilan politik sejak penubuhan negara di mata dunia.
Katanya, perkara itu perlu terus dipertahankan bagi memastikan kestabilan negara sentiasa berada pada landasan terbaik. – HARAKAHDAILY 8/8/2021




















