
Oleh AIN MANAF
PASIR MAS: Projek pemulihan runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Chelagi membabitkan peruntukan sebanyak RM65 juta kini sedang giat dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, projek berkenaan bagaimanapun turut melibatkan empat komponen kerja yang perlu diselesaikan menjelang November.
Ini kerana katanya dibimbangi musim tengkujuh yang akan melanda negeri itu setiap hujung tahun boleh memudaratkan lagi keadaan selain mengelak hakisan lebih serius berlaku.
Bagaimanapun beliau memaklumkan projek membaik pulih tebing berkenan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan yang bermula 5 Ogos sehingga 5 November akan datang.
“Kita ada empat komponen kerja yang perlu diselesaikan menjelang November seperti kerja-kerja mengorek pasir, menstabilkan benteng, korek sungai dan meletakkan batu.
“Jika kerja-kerja ini dapat dilaksanakan InsyaAllah kita dapat bendung masalah hakisan walaupun akan datang musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada lawatan kerja selepas melawat di lokasi runtuhan tersebut, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Hanifa Ahmad.
Dalam pada itu katanya, projek membaik pulih itu turut melibatkan seluas 3.6 hektar akan dibangun dan dijadikan taman rekreasi supaya menjadi tarikan baru serta destinasi pelancongan.
Beliau juga berkata, satu jawatankuasa pemantau bakal ditubuh yang akan diketuai Ahli Parlimen, Pegawai Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan projek berkenaan berjalan dengan lancar.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi Pasir Mas akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat bulan akan datang.
Pada Mac lepas berlaku tebing sungai runtuh di Kampung Pohon Chelagi sehingga menjejaskan rumah penduduk, malah beberapa rumah dan kenderaan terhumbang bersama runtuhan tanah.
Berikutan itu penduduk yang terlibat dipindahkan ke lokasi lain. Kerajaan negeri juga membayar sewa bulanan rumah penduduk yang terlibat di lokasi lain sehingga projek terbabit siap sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2021











