
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Peningkatan kes positif di Kelantan sehingga mencecah empat angka Rabu lepas membuktikan masih ramai rakyat negeri itu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, peningkatan tersebut ada kaitan aktiviti ziarah ketika Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Selain itu katanya ada penduduk mengadakan kenduri secara senyap dan solat secara berjemaah beramai-ramai.
“Sebelum ini ada pihak suka menyalahkan orang lain, sedangkan kita sendiri tidak berusaha untuk mematuhi SOP.
“Bukan kita hendak salahkan mana-mana pihak tetapi masalah ini masing-masing sepatutnya kena jaga SOP,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 250 penjaja dan peniaga di Pusat Khidmat Dun Panchor semalam.
Rabu lepas Kelantan mencatat 1003 kes harian positif, iaitu tertinggi sejak kebelakangan ini. Bagaimanapun semalam turun kepada 772 kes.
Kelantan antara negeri yang berada pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mohd Amar yang juga Adun Panchor berkata, peningkatan kes positif Covid-19 yang bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah melibatkan seluruh negara.
“Dua minggu ini kes Covid-19 meningkat, menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi.
“InsyaAllah dua minggu minggu selepas kita percaya kes akan turun semula.
Sehari dua ini kita sudah expect memang akan meningkat tinggi.
“Ini sudah ada dalam ekpectation, bila berlaku kita buat saringan dia keluar angka-angka sehingga seribu lebih, minggu depan kes akan menurun,” katanya.
Sementara itu sumbangan kepada penjaja dan peniaga kecil tersebut merupakan Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 yang bernilai RM2.25 juta.
Ia bagi membantu penjaja dan peniaga kecil yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0. – HARAKAHDAILY 6/8/2021











