
SALMAH MAT HUSAIN
Foto RIZAL TAHIR
TUMPAT: Kerajaan Kelantan yakin penduduk di negeri itu akan mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus suntikan vaksin menjelang Oktober ini.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata ia diperolehi berasaskan proses suntikan vaksin berjalan lancar di negeri itu sekarang.
Pada masa yang sama, jelasnya bekalan vaksin dalam jumlah yang agak besar Julai ini bakal diterima oleh Kelantan.
Beliau menambah, Kelantan akan menerima dos vaksin bulan ini sebanyak 438,000 yang akan dihantar secara berperingkat-peringkat.
“InsyaAllah kita yakin menjelang Oktober ini rakyat Kelantan semakin ramai menerima suntikan vaksin,”ujarnya kepada media selepas meninjau Outreach Vaksinasi Maahad Falahiah, Pasir Pekan dekat sini hari ini.
Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan penghulu Dun.
Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata, hari ini seramai 200 orang divaksinasikan di pusat tersebut di mana program itu akan diadakan selama empat hari melibatkan seramai 800 penduduk di Dun tersebut.
Menteri Besar turut melahirkan rasa syukur kes harian Covid-10 di negeri itu tidak mencatatkan jumlah yang tinggi sebagaimana sebelum ini.
Oleh itu beliau berharap semua pihak sentiasa menjaga penjarakan agar wabak berkenaan tidak mudah menular.
“Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi akan disambut oleh umat Islam seluruh dunia, jadi kita mesti patuhi SOP sebagaimana ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/7/2021











