
4 jenis Liberalisme
Pemikiran ini bermula dengan memperjuangkan kebebasan, tetapi lama kelamaan ia semakin bercambah-cambah. Ringkasnya. Hari ini ia bercambah menjadi 4 jenis;
1. Liberalisme Politik, iaitu ketuanan individu itu menjadi asas undang-undang dan masyarakat. Contohnya meletakkan hak-hak peribadi lebih tinggi daripada kuasa raja. Bahkan undang-undang yang disusun mestilah dipersetujui oleh majoriti rakyat.
2. Liberalisme Budaya, iaitu menekankan hak-hak peribadi dalam menjalani kehidupan. Contohnya kebebasan seksual, kebebasan beragama dan melarang campur tangan sesiapa termasuk kerajaan dalam kehidupan seseorang.
3. Liberalisme Sosial, iaitu satu aliran Liberalisme yang terpengaruh dengan Utilitarianisme. Kemunculan aliran ini merujuk kepada Liberalisme Moden yang berteraskan kepada Positive Liberty yang akan dihuraikan selepas ini.
4. Liberalisme Ekonomi, iaitu satu aliran Liberalisme Klasik yang berteraskan kepada konsep Negative Liberty yang akan dihuraikan selepas ini.
Kanan dan kiri
Liberalisme sering dikaitkan dengan progresif, manakala lawannya adalah konservatif. Liberalisme kadangkala berada di kiri, dan kadangkala berada di kanan. Kadangkala ada juga Liberalisme yang bersifat konservatif.
Perbezaan ini mengikut perbezaan antara aliran-alirannya. Liberalisme Sosial contohnya, di Jerman ia dipanggil Liberalisme Kiri. Di Amerika, Liberalisme Sosial lebih kepada pertentangan dengan ‘konservatisme sosial’.
Saya pernah nyatakan sebelum ini, mengenai kajian di Amerika yang menyatakan bahawa Joe Biden, Presiden Amerika hari ini lebih pekat Liberalisme-nya. berbanding zaman Trump yang dilihat agak centrik (sederhana antara Konservatif dan Liberalisme).
Sama juga di Negara Haram Israel, Liberalisme Likud (Netanyahu) dilihat agak centrik (tengah) berbanding parti-parti Liberal yang lain. Berbeza sedikit dengan Malaysia. Pendekatan aliran kiri di negara haram itu rata-rata tertarik dengan konsep Two State Solution, atau pendekatan negosiasi.
Positive Liberty atau Negative Liberty
Sepertimana yang kita ketahui, Liberalisme dikatakan memperjuangkan kebebasan. Namun, kebebasan apa yang mereka perjuangkan. Immuel Kant antara yang membincangkan mengenai maksud kebebasan ini. Ia diperhalusi pula oleh Isaia Berlin yang bertajuk ‘Two Concept Of Liberty’.
Kedua-dua konsep kebebasan itu ialah ‘Positive Liberty’ dan ‘Negative Liberty’.
1. Positive Liberty ialah bebas untuk melakukan apa sahaja.
2. Negative Liberty ialah bebas daripada apa sahaja.
Kedua-dua istilah ini walaupun nampak ringkas, tetapi diperdebatkan secara panjang. Akhirnya mencetuskan istilah aliran Liberal Klasik yang mentakrifkan kebebasan itu sebagai Negative Liberty.
Berlin menolak konsep kebebasan cara Positive kerana boleh mencetuskan penindasan. Atau dengan maksud lain, penindasan atas nama Liberalisme. Justeru, Liberal Klasik lebih cenderung ke arah menghadkan kuasa pemerintah.
Ini kerana, ‘bebas apa sahaja’ itu bermaksud bebas daripada sebarang bentuk kongkongan. Maka, mereka menyeru ke arah meminimakan seminima mungkin kuasa kerajaan. Inilah yang menjadi asas kepada Kapitalisme.
Kapitalisme: Liberalisme Klasik
Adam Smith yang mengasaskan Kapitalisme beraliran Liberalisme Klasik. Ia lebih cenderung untuk menghadkan kuasa pemerintahan, dan memberi kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk meningkatkan keupayaan diri. Dengan maksud, sesiapa sahaja berhak untuk bebas daripada apa sahaja.
Setelah beberapa lama Liberalisme Klasik diamalkan, akhirnya menyebabkan wujudnya perbezaan yang ketara antara orang kaya dan miskin. Yang kaya terlalu kaya, yang miskin makin teruk.
Boleh dikatakan apabila seseorang itu berhak bebas daripada apa sahaja (Negative Liberty), akan menjadikan orang kaya (Capital) menjadi semakin kaya kerana undang-undang ekonomi agak terhad.
Contohnya Liberalisme Klasik sangat anti dengan kutipan cukai. Ini kerana mereka menganggap undang-undanf kutipan cukai adalah bentuk kongkongan terhadap para tauke.
Liberalisme Moden
Selepas itu, muncullah Liberal Moden yang menafsirkan kebebasan dari sudut Positive Liberty (kebebasan positif). Antara sebabnya ialah apabila wujudnya jurang besar antara miskin dan kaya, ia menggambarkan orang miskin itu tidak bebas.
Orang miskin tak bebas untuk memiliki apa yang mereka perlu dapat, contohnya kemudahan-kemudahan yang hanya diperolehi oleh orang yang berduit sahaja. Mereka yang miskin, dianggap ‘tidak mampu bebas’ kerana kemiskinannya.
Contohnya orang miskin tak dapat makan makanan yang sedap, kerana tidak berduit. Maka, ia dianggap sebagai satu kongkongan. Mereka tidak dapat berjalan makan angin, ini juga satu kongkongan.
Justeru, menurut Liberalisme Moden, orang miskin perlu dibebaskan. Antaranya dengan mengutip cukai daripada orang kaya, untuk diberikan pada orang miskin agar mereka bebas.
Justeru, mengikut aliran Liberal Moden ini, kuasa pemerintah dibesarkan semula sebagai lambang ‘bebas melakukan apa sahaja’ (positive liberty). Orang miskin perlu dibantu agar mereka bebas melakukan apa sahaja.
Lantas pada Perang Dunia Kedua, Liberalisme Moden dikatakan punca suburnya konsep Autoritarian dalam pemerintahan, kerana kuasa pemerintah dilihat terlalu besar. Lalu ahli falsafah Barat ada yang cuba membawa semula konsep Liberal Klasik.
Kumpulan baru ini memperbaharui Liberalisme Klasik sehingga menjadi Neo-Liberalisme. Beberapa asas agak berbeza antara keduanya. Namun, terasnya sama, iaitu Negative Liberty.
Dunia Barat
Liberalisme Sosial dicetuskan oleh Leonard Hobhouse melalui bukunya Liberalism 1911. Di Amerika ia dikenali sebagai Liberal Moden. Bahkan, ada yang mengaitkan Liberalisme Sosial dengan Liberalisme Budaya.
Manakala tokoh bagi Liberalisme Politik (Liberalisme Moden) antaranya John Rawls yang dikenali sebagai Liberal Moden. Ideanya dikritik pula oleh Robert Nozick yang mengemukakan idea utopianya, ‘negara minimalis’.
Begitu jugalah dengan Liberalisme Ekonomi yang dilatari oleh Kapitalisme, berteraskan kepada Liberalisme Klasik. Begitulah kedua duanya berputar-putar hingga ke hari ini.
Di Amerika, orang orang Parti Demokrat dilihat sebagai Liberalisme Moden, manakala Parti Republican Liberalisme Klasik dan Neo-Liberalisme. Sebab itu kita boleh lihat, apa yang diperjuangkan oleh kedua-dua parti ini.
Namun, kita tak perlulah seronok apabila melihat Demokrat mengalahkan Republican akhir tahun lepas, kerana ia cumalah keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 6/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000953077134/posts/5691834864191560/











